Welcome back ! Feels free to look around. If you like what you read, mention us in your post or link to this site. Hope to see you again



Thursday, December 20, 2012

BAGAIMANA BERDEPAN DENGAN KRITIKAN

BISMILLAHI RAHMANI RAHIM

Malas baca ? :)
Download kat sini :p
Password:



BAGAIMANA BERDEPAN DENGAN KRITIKAN



    Allah Yang Maha Mencipta dan Pemberi Rezeki Yang Maha Mulia, sering mendapat cacian dan cercaan dari orang-orang pandir yang tidak berakal dan tidak tahu diri. Sebab itu, anda dan kita semua adalah manusia yang selalu terlanjur dan salah. Dalam hidup ini, terutama jika anda seseorang yang sentiasa memberi, mengelokkan, mempengaruhi dan berusaha membina makan anda biasanya menerima kritikan-kritikan yang pedas dan keras. Mungkin pula, sekali-sekala anda akan mendapat cemuhan dan hinaan dari orang lain.

    Mereka tidak akan diam dari mengkritik anda sebelum anda masuk ke dalam tanah, menaiki tangga ke langit, dan berpisah dengan mereka. Sekiranya anda masih berada di tengah-tengah mereka maka akan tetap ada perbuatan mereka yang membuat anda bersedih hati dan menitiskan air mata, atau membuat tempat tidur anda gersang.

    Ketahuilah bahawa orang yang duduk di atas tanah tidak akan jatuh, dan manusia tidak akan menendang anjing yang sudah mati. Kalau mereka marah dan kesal kepada anda adalah mungkin anda mengatasi mereka dalam hal kebaikan, keilmuan, tingkah-laku, atau harta. Pendek kata, anda pada pandangan mereka adalah orang berdosa yang tidak boleh diampunkan hingga anda melepaskan semua anugerah dan nikmat Allah yang ada pada anda, atau hingga anda meninggalkan sifat terpuji dan nilai-nilai mulia yang selama ini anda berpegang teguh. Dan jika anda menjadi orang yang bodoh, pandir dan jahil, memang itulah yang mereka inginkan berlaku pada anda.

    Sebab itu, berwaspadalah terhadap apa yang mereka katakan; kuatkan jiwa untuk mendengar kritikan, cemuhan dan hinaan mereka. Bersikaplah bagai batu-batan; tetap kukuh berdiri sekalipun diterpa ketulan-ketulan salji tiap-tiap saat dan ia bahkan bertambah kukuh kerananya. Dengan kata lain, jika anda merasa terusik dan terpengaruh dengan kritikan atau cemuhan mereka, bermakna anda sudah meluluskan keinginan mereka untuk mengotori dan mencemarkan hidup anda.

    Padahal yang terbaik adalah menjawab atau membalas kritikan mereka dengan menunjukkan akhlak yang baik. Lupakan sahaja mereka, dan jangan sekali-kali merasa tertekan dengan setiap usaha mereka untuk menjatuhkan anda. Kerana kritikan mereka yang menyakitkan itu pada hakikatnya merupakan pujian dan ungkapan penghormatan anda. Bertambah tinggi darjat dan kedudukan yang anda duduki maka bertambah pedas pula kritikan yang anda terima.

    



"Ketahuilah bahawa orang yang duduk di atas tanah tidak akan jatuh, dan manusia tidak akan menendang anjing yang sudah mati."


    Bagaimanapun, anda akan sukar untuk mendiamkan mulut mereka dan menahan gerakan lidah mereka. Yang anda mampu hanyalah mengubur dalam-dalam setiap kritikan mereka, mengetepikan tingkah -laku mereka pada anda, dan cukup membalas tiap-tiap perkataan mereka sebagaimana yang disuruh Allah:

"Katakanlah (wahai Muhammad):
'Matilah kamu dengan kemarahan kamu itu'."
(Surah Ali-Imran: 119)

   Lebih elok lagi jika anda dapat memasukkan cebisan-cebisan daging ke mulut mereka supaya mereka diam seribu bahasa dengan cara membanyakkan keutamaan, mengelokkan akhlak, dan memperbetulkan tiap-tiap kesalahan anda. Dan jika anda ingin diterima oleh semua pihak, disukai semua orang, dan terhindar dari cela, bermakna anda sudah menyukai sesuatu yang mustahil berlaku dan mengharapkan sesuatu yang terlalu jauh untuk dicapai.
Page 17-18 Jangan Bersedih (La Tahzan)
Karya Dr. AIDH BIN ABDULLAH AL-QARNI

Page 6-9
Page 9-11
Page 11-12
Page 12-15
Page 15-17


    

Tuesday, December 11, 2012

JANGAN PAKSAKAN HARI ESOK HADIR SEKARANG

BISMILLAHI RAHMANI RAHIM

Malas baca ? :)
Download kat sini :p
Password:



JANGAN PAKSAKAN HARI ESOK HADIR SEKARANG



"Telah hampir datangnya janji yang telah ditetapkan oleh Allah maka janganlah kamu minta disegerakan"
(Surah An-Nahl: 1)


     Jangan sekali-sekali mendahului sesuatu yang belum berlaku. Adakah anda mahu mengeluarkan kandungan sebelum waktunya dilahirkan, atau memetik buah-buahan sebelum masak? Hari esok adalah sesuatu yang belum nyata dan belum dapat disentuh; belum berupa, dan tidak mempunyai rasa dan warna. Kemudian, mengapa kita mesti menyibukkan diri dengan hari esok, mencemaskan kesial-kesialan yang mungkin akan berlaku padanya, memikirkan kejadian-kejadian yang akan menimpanya, meramalkan bencana-bencana yang bakal ada di dalamnya? Bukankah kita juga tidak tahu sama ada kita akan bertemu dengannya atau tidak, dan adakah hari esok itu akan berupa kesenangan atau kesedihan?

    Hakikatnya, hari esok masih di alam ghaib dan belum turun ke bumi. Maka tidak sepatutnya kita menyeberangi satu jambatan sebelum sampai di atasnya. Sebab siapa yang tahu secara pasti bahawa kita akan sampai atau tidak ke atas jambatan itu? Boleh jadi kita akan berhenti sebelum sampai ke jambatan itu, atau mungkin pula jambatan itu hanyut dibawa arus lebih dahulu sebelum kita sampai di atasnya. Dan boleh jadi pula kita akan sampai pada jambatan itu dan kemudian menyeberanginya.

    Menurut Islam, memberi peluang kepada fikiran untuk memikirkan masa depan dan membuka-buka alam ghaib, dan kemudian hanyut dalam kecemasan-kecemasan yang baru berupa persangkaan merupakan sesuatu yang tidak dibenarkan. Kerana hal itu termasuk tulul amal (panjang angan-angan). Menurut pertimbangan, tindakan itu juga tidak masuk akal sebab ia sama dengan berperang melawan bayang-bayang. Tetapi aneh kebanyakan manusia di dunia ini malah ramai termakan dengan ramalan-ramalan berkenaan kelaparan, kemiskinan, wabak penyakit dan krisis ekonomi yang kononnya akan menimpa mereka. Padahal itu hanyalah sebahagian dari matapelajaran yang diajarkan di sekolah-sekolah syaitan.


"Syaitan itu menjanjikan (menakut-nakutkan) kamu dengan kemiskinan dan kepapaan (jika kamu bersedekah atau menderma), dan ia menyuruh kamu melakukan perbuatan yang keji (bersifat bakhil kedekut); sedang Allah menjanjikan kamu ( dengan keampunan daripada-Nya serta kelebihan kurnia-Nya"
(Surah Al-Baqarah: 268)

     Orang-orang yang menangis sedih memandang masa depan mereka yang menyangka mereka akan hidup kelaparan, sakit selama setahun, atau memperkirakan usia dunia ini tinggal seratus tahun lagi. Padahal orang yang sedar bahawa usianya berada di tangan yang lebih berkuasa tentu tidak akan menggadaikannya untuk sesuatu yang tidak ada. Dan orang yang tidak tahu bilakah dia akan mati, tentu salah besar jika dia masih terus menyibukkan diri dengan sesuatu yang belum ada dan tidak berupa.

Tunggulah hari esok datang dengan sendirinya; jangan sekali-kali menanyakan khabar beritanya dan jangan pula menunggu serangan malapetakanya. Kerana hari ini anda sudah sangat sibuk.


"Hakikatnya, hari esok masih di alam ghaib dan belum turun ke bumi. Maka tidak sepatutnya kita menyeberangi satu jambatan sebelum sampai di atasnya. Sebab siapa yang tahu secara pasti bahawa kita akan sampai atau tidak ke atas jambatan itu?


    Jika anda hairan maka lebih menghairankan lagi orang-orang yang berani menebus kesedihan suatu masa yang belum tentu matahari terbit di dalamnya dengan bersedih hati pada hari ini. Sebab itu, hindarilah angan-angan yang panjang.



Page 15-17 Jangan Bersedih (La Tahzan)
Karya Dr. AIDH BIN ABDULLAH AL-QARNI

Page 6-9
Page 9-11
Page 11-12
Page 12-15


    

Saturday, December 8, 2012

INILAH HARI KEPUNYAAN ANDA

BISMILLAHI RAHMANI RAHIM

Malas baca ? :)
Download kat sini :p
Password:




INILAH HARI KEPUNYAAN ANDA



    Apabila anda berpagi-pagi maka janganlah menunggu hari petang. Hari inilah yang anda jalani, bukan hari kelmarin yang sudah berlalu dengan segala kebaikan dan keburukannya, dan juga bukan hari esok yang belum tentu datang, Hari yang ketika inimataharinya menyinari anda, dan siangnya menyapa anda, Inilah hari anda.

    Bukan mustahil hidup anda tinggal sehari sahaja lagi -- hari ini. Maka anggaplah masa hidup anda hanya hari ini sahaja, atau seolah-olah anda dilahirkan hari ini dan akan mati hari ini juga. Dengan begitu, hidup anda tidak akan koyak rabak di antara gumpalan keresahan, kesedihan dan suka-duka serta pedih luka parut masa lalu dengan bayangan hantu masa depan yang penuh keraguan dan sering menakutkan. 

    Justeru itu, sudah sepatutnya anda mencurahkan seluruh perhatian, kepedulian dan kerja kuat anda pada waktu ini untuk hari ini. Dan pada hari inilah, anda perlu berazam mempersembahkan kualiti sembahyang yang paling khusyuk, bacaan Al-Quran yang paling tartil dan penuh renungan, berzikir dengan sepenuh hati, keseimbangan dalam segala hal, keindahan dalam akhlak, kerelaan dan keridhaan dengan semua yang Allah berikan, perhatian terhadap keadaan sekeliling, mengambil berat terhadap kesihatan jiwa dan raga, serta berbuat baik terhadap sesama manusia.

    Jadi sudah sepatutnya anda pada hari ini lebih bijak dan pandai membahagi-bahagi waktu anda dengan baik. Jadikanlah tiap-tiap minitnya bagai ribuan tahun dan tiap-tiap saatnya bagai ratusan bulan; tanamlah kebaikan sebanyak-banyaknya pada hari ini dan persembahkanlah sesuatu yang paling indah untuknya. Beristighfarlah atas semua dosa, ingatlah sentiasa kepada-Nya, bersiap-siaplah untuk satu perjalanan jauh menuju akhirat, dan nikmatilah hari ini dengan segala keriangan dan kebahagiaan. Terimalah rezeki, isteri, suami, anak-anak, tugas-tugas, rumah, ilmu, dan jawatan anda hari ini dengan penuh keridhaan.


"Terimalah apa yang Aku kurniakan kepadamu, dan jadikanlah dirimu dari orang-orang yang bersyukur"
(Al-A'raf: 144)



Marilah kita hidup hari ini tanpa kesedihan, tanpa keresahan, tanpa kemarahan, tanpa kedengkian dan tanpa kebencian!


    Pada waktu yang sama, anda jangan lupa untuk menggoreskan pada dinding hati anda satu kalimat: "Inilah hari saya!" Maka, jika hari ini anda dapat memakan nasi panas yang sedap aromanya maka adakah nasi basi yang tidak anda habiskan kelmarin atau nasi panas esok hari yang belum tentu sampai?

    Jika anda percaya pada diri anda, sengan semangat dan azam yang kuat anda akan dapat menundukkan diri anda untuk berpegang pada prinsip: "Aku hanya akan hidup hari ini!" Prinsip inilah yang akan menyibukkan diri anda tiap-tiap saat supaya sentiasa memperbaiki keadaan, mengembangkan semua potensi, dan mengikhlaskan tiap-tiap amalan.


    Sikap demikian akan membuat anda berkata dalam hati:
"Inilah harinya aku masih berpeluan untuk mengatakan baik-baik sahaja, menghindari bercakap kotor, lucah dan menjijikkan, tidak akan mencela, mengherdik dan juga memperkatakan keburukan orang lain. Hanya hari ini aku berpeluang mengemas rumah supaya tidak kacau-bilau dan berantakan, supaya rapi dan teratur. Dan kerana hari ini sahaja aku akan hidup maka aku akan memerhatikan kebersihan tubuhku, kekemasan penampilanku, kehalusan tutur kata dan perilakuku.


    "Kerana jika aku hanya diizinkan hidup hari ini maka aku akan berusaha sekuat tenaga untuk taat kepada Allah, mengerjakan sembahyang sesempurna mungkin, membekali diri dengan sembahyang-sembahyang sunat, berpegang teguh pada ajaran Al-Quran, mengkaji dan mencatat segala yang mendatangkan manfaat buatku."


     "Aku hanya mempunyai hidup yang pasti hari ini, sebab itu aku akan menanamkan dalam hatiku semua nilai keutamaan dan mencabut darinya pohon-pohon kejahatan serta ranting-rantingnya yang berduri tidak kira sifat takbur, ujub, riya', buruk sangka dan lain-lain."

    "Hanya hari ini aku akan dapat menghirup udara kehidupan maka aku akan berbuat baik kepada orang lain dan menghulurkan tangan kepada sesiapa pun. Aku akan menziarahi mereka yang sakit, menghantar jenazah, menunjukkan jalan yang benar bagi yang tersesat, memberi makan kepada orang yang lapar, menolong orang yang sedang kesusahan, membantu orang yang dizalimi, meringankan penderitaan orang yang lemah, mengasihi mereka yang menderita, menghormati orang-orang alim, menyayangi kanak-kanak dan berbakti kepada ibu bapa."

    "Aku hanya akan hidup hari ini maka aku akan mengucapkan:
    "Wahai masa lalu yang sudah berlalu dan selesai, tenggelamlah kamu seperi tenggelamnya mataharimu. Aku tidak akan menangisi kepergianmu, dan kamu tidak akan melihatku termenung sebentar pun untuk mengingatimu. Kamu sudah meninggalkan kami semua, pergilah dan jangan kembali lagi."

    "Wahai masa depan, engkau masih dalam keghaiban. Maka aku tidak akan bermain dengan khayalan dan memperjudikan nasib hanya kerana satu agakan. Aku juga tidak bakal memburu sesuatu yang belum tentu ada, sebab esok hari mungkin tidak ada sesuatu; esok hari adalah sesuatu yang belum diciptakan dan tidak ada satu pun darinya yang dapat disebutkan."

    "Hari ini kepunyaan saya" merupakan ungkapan paling indah dalam "kamus kebahagiaan", kamus bagi mereka yang ingin menikmati hidup yang paling indah dan menyeronokkan.



Page 12-15 Jangan Bersedih (La Tahzan)
Karya Dr. AIDH BIN ABDULLAH AL-QARNI

Page 6-9
Page 9-11
Page 11-12

APA YANG SUDAH PERGI, BIARKANLAH IA PERGI

BISMILLAHI RAHMANI RAHIM

Malas baca ? :)
Download kat sini :p
Password:




APA YANG SUDAH PERGI, BIARKANLAH IA PERGI



    Mengingat-ingat masa lalu dan bersedih hati kerananya adalah satu tindakan bodoh dan gila. Lebih dari itu, ia boleh mematikan kehendak dan membinasakan masa depan.


    Bagi orang-orang yang waras, fail masa lalu itu sepatutnya dilipat dan disimpan, bukan dibuka dan dipersoalkan. Ia perlu ditutup buat selama-lamanya dan dikurung di dalam penjara kelupaan, diikat dengan gari di dalam kurungan yang kuat hingga ia tidak dapat keluar. Ianya perlu diperap sedemikian rupa supaya ia tidak terkena cahaya, sebab ia adalah sesuatu yang sudah berlalu dan sudah selesai. Maka ia tidak mungkin kembali dengan apa jua kesedihan, tidak dapat diubah dan diperbaiki dengan apa jua kedukaan, tidak dapat dihadirkan semula dengan apa juga kegelisahan, dan tidak akan dapat dihidupkan semula dengan apa juga kebingungan -- ia adalah sesuatu yang sudah tiada.


    Jangan biarkan hidupmu dihantui masa lalu, jangan biarkan dirimu sentiasa dibayang-bayangi oleh sesuatu yang sudah berlalu. Lepaskanlah dirimu dari pengaruh dan bayangan masa lampau. Adakah anda mahu mengembalikan sungai kepada sumber mata airnya, memulangkan matahari kepada tempat terbitnya, mengembalikan anak ke dalam rahim ibunya, air susu kepada puting susu haiwan, dan airmata kepada mata? Sesungguhnya meratapi masa lalu dan menangisinya akan membuatmu terbakar dengan apinya. Kembali ke pangkuan masa lalu sama sahaja dengan meletakkan anda dalam kemelut dan tragedi yang sangat dahsyat dan menakutkan.


    Hidup sambil mengungkit-ungkit masa lalu bermakna menyia-nyiakan masa sekarang, mengoyak-ngoyak perjuangan dan memporak-perandakan masa kini. Allah s.w.t. sudah menceritakan tentang umat-umat yang lampau dan apa yang sudah mereka lakukan. "Yang demikian itu adalah satu umat yang sudah berlalu." Segala sesuatunya sudah selesai bagi mereka. Tidak ada gunanya lagi menghurai dan memanjangkan cerita perjalanan masa kerana ia sama sahaja dengan memutar semula perjalanan sejarah.

    Sesungguhnya orang yang kembali kepada masa lalu sama dengan orang yang menggiling tepung atau orang yang sama menggergaji dedak kayu tetapi dirinya sendiri turut tergilas sama. Terdapat ungkapan lama terhadap mereka yang suka meratapi masa lalu: "Hei, jangan keluarkan mayat-mayat itu dari kubur mereka." Ada disebutkan bahawa mereka yang boleh bercakap dengan bahasa haiwan, mereka bertanya kepada keldai: "Mengapa engkau tidak menarik kereta lagi?" Si keldai menjawab: "Aku tidak suka menipu"


    Malangnya kita tidak mahu dah berusaha menangani masa kini sebaliknya kita sibuk  memikirkan masa lalu kita. Kita menyia-nyiakan istana-istana kita yang megah, sebaliknya kita pula sibuk menguruskan reruntuhan bangunan lama. Sekiranya manusia dan jin bekerjasama dan bertungkus-lumus untuk mengembalikan masa lalu itu, nescaya tidak akan berjaya, sebab pada dasarnya ia adalah mustahil.

   Sesungguhnya manusia tidak perlu menoleh atau berpaling ke belakang, sebab hembusan angin sentiasa mengalir ke depan, air mengalir pun menuju ke depan, kafilah dagang pun ke arah depan. Justeru, janganlah cuba menentang arus dan aturan hidup, sunnah alam.

Page 11-12 Jangan Bersedih (La Tahzan)
Karya Dr. AIDH BIN ABDULLAH AL-QARNI

Page 6-9
Page 9-11

Friday, December 7, 2012

BERTAFAKUR DAN BERSYUKURLAH

BISMILLAHI RAHMANI RAHIM

Malas baca ? :)
Download kat sini :p
Password:




BERTAFAKUR DAN BERSYUKURLAH



    Tujuannya ialah supaya anda mengingat segala nikmat dan kurnia yang dianugerahkan oleh Allah kepada anda -- nikmat yang meliputi anda dari atas kepala dan dari bawah tapak kaki anda.


    "Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, nescaya kamu tidak dapat mengiranya."

    Kesihatan tubuh badan, keamanan dalam negara, makanan, pakaian, udara dan air bersih. Anda sudah mempunyai dunia sedang anda tidak menyedarinya; anda mempunyai hidup sedang anda tidak mengetahuinya.


    "Dan Dia sudah menyempurnakan nikmat-nikmat-Nya bagi kamu, meliputi yang zahir dan yang batin."

    Ingatlah bahawa anda mempunyai dua mata, satu lidah, dua bibir, dua tangan dan  dua kaki.

"Nikmat Allah yang mana lagi yang hendak kamu dustakan?"

    Adakah satu masalah yang tidak mustahak bagi anda mampu berjalan menggunakan dua kaki, bagaiman jika kedua-duanya kudung?
    Adakah satu hal yang kecil bagi anda yang masih boleh tidur lelap, sedangkan ramai orang yang tidak dapat melelapkan mata kerana menahankan sakit kerana penyakit yang menimpanya?

    Adakah anda tidak merasa apa-apa memakan makanan yang lazat sekenyangnya dan meminum minuman yang sedap sepuasnya, padahal ketika itu masih terdapat ramai orang yang tidak boleh makan dan minum kerana suatu penyakit?

    Hayatilah semula tentang anugerah pendengaranmu yang dijauhkan dari buta; tentang anugerah penglihatanmu yang dijauhkan dari buta; tentang anugerah kulitmu yang terhindar dari penyakit sopak dan yang seumpamanya. Dan jangan pula lupa merenung dan memikirkan anugerah akal fikiranmu, bagaimana sekiranya anda ditakdirkan gila atau tidak siuman?

    Adakah anda mahu menukar anugerah penglihatan yang anda punyai dengan emas sebesar gunung Uhud? Adakah anda rela anugerah pendengaran yang anda punyai dengan perak seberat bukit? Adakah anda bersedia menukar lisan anda dengan istana-istana yang megah, tetapi selepas itu anda menjadi orang bisu? Adakah anda rela menukar kedua-dua tangan anda dengan rantai-rantai intan dan permata tetapi selepas itu anda menjadi orang yang kudung tangan?

    Sesungguhnya anda sedang diliputi nikmat yang banyak dan sangat bernilai, tetapi anda tidak menyedarinya. Mengapa anda masih bersedih hati dan bermuram durja, sedangkan pada waktu yang sama anda mempunyai makanan yang sedap, air bersih untuk diminum, boleh tidur lena, dan sihat tubuh badan? Anda terus menangisi apa yang luput dari anda, bukan mensyukuri apa yang sudah anda punyai. Anda susah hati kerana mengalami kerugian harta benda, sedang pada waktu yang sama di tangan anda ada anak kunci kebahadiaan, gudang kebaikan, anugerah, nikmat dan lain-lain. Berfikir serta bersyukurlah.

"Terhadap diri kamu sendiri, mengapa kamu tidak perhatikan?"

Fikirkanlah tentang dirimu, keluargamu, rumahmu, pekerjaanmu, kesihatanmu, kawan-kawanmu dan dunia sekelilingmu.

"Mereka mengetahui nikmat Allah itu, kemudian mereka mengingkarinya."


Page 9-11 Jangan Bersedih (La Tahzan)
Karya Dr. AIDH BIN ABDULLAH AL-QARNI

Page 6-9

YA ALLAH!

BISMILLAHI RAHMANI RAHIM


Malas baca ? :)
Download kat sini :p
Password:




YA ALLAH!



Ya Allah! 
{Semua yang ada di langit dan di bumi selalu meminta pada-Nya. Setiap waktu Dia dalam kesibukan.} (QS. Ar-Rahman: 29)




  1. Apabila laut tiba-tiba bergelombang,ombak menghempas bergulung-gulung dan angin bertiup dan berderu kencang, si nelayan akan berseru : Oh Tuhan, ya Allah!

        Apabila penunggang kuda tersesat di tengah padang pasir saharahaluan berubah arah dan kafilah kebingungan dalam perjalanan, ia pun berseru : Oh Tuhan, ya Allah!






  1. Apabila musibah menimpa, ujian melanda dan cubaan datang silih berganti maka orang yang ditimpa musibah itu akan berseru sekuat hati : Oh Tuhan, ya Allah!




    Apabila segala pintu ditutup di hadapan para pengemis dan langsir dilabuhkan, mereka akan berseru : Oh Tuhan ya Allah!
    Apabila ikhtiar sudah sempurna, jalan tetap buntu, cita-cita terhenti dan segala hubungan terputus, mereka akan berseru : Oh Tuhan, ya Allah!

    Apabila dunia yang luas ini terasa sempit buat anda, sedang dirimu terasa dihimpit oleh segala yang ditanggungnya, berserulah : Oh Tuhan, ya Allah!

    "Sungguh aku mengingati-Mu pada malam yang hitam pekat, ketika hamparan masa kotor berdebu. Aku berteriak kuat ketika fajar menyingsing sambil tersenyum lebar."

Kepada Allah jualah ditujukan ucapan-ucapan yang bagus, doa-doa yang ikhlas, teriakan-teriakan yang benar, deraian airmata dan segala keluh-kesah kesedihan.
    Kepada-Nya setiap tapak tangan menadah di hujung malam memohon bantuan, begitu juga setiap mata yang merenung, serta segala permintaan makhluk baharu.

    Dengan nama-Nya setiap lidah menyebut, meminta tolong, bermohon dan memanggil. Dengan mengingat-Nya hati akan tenteram dan roh akan damai, serta jiwa menjadi tenang. Urat-urat saraf menjadi lentur, kecerdikan meningkat dan keyakinan bertambah mantap.

("Sesungguhnya) Allah Maha Lemah-Lembut kepada para hamba-Nya."

    Allah :
    Nama yang paling baik, susunan huruf yang paling cantik, ungkapan yang paling benar, dan kalimat yang paling bernilai. "Adakah engkau mengetahui sesiapa pun yang senama dan sebanding dengan-Nya?."
(Maryam : 65)

    Allah :
    Terbukti Dialah yang empunya kekayaan dan keabdian, kekuatan dan bantuan, kemuliaan, kekuasaan dan kebijaksanaa. (Ketika itu Allah berfirman): "Siapakah yang menguasai kerajaan pada hari ini?" (Allah sendiri menjawab): "Dikuasai oleh Allah Yang Maha Esa, lagi Yang mengatasi kekuasaan-Nya atas segala-galanya."
(Ghafir : 16)

    Allah :
    Empunya kelembutan dan bantuan, pemberian, kasih sayang dan ihsan. "Apa jua nikmat yang ada pada kamu adalah datang daripada Allah."
(an-Nahlu : 53)

    Allah :
    Empunya kemegahan dan kemuliaan, kehebatan dan kegagahan. "Setiap kali kami menuliskan huruf-huruf suci tentang kemegahan-Mu, segenap jiwa turut bersenandung 'Engkaulah Yang Maha Mulia' dan segala makna akan cair di depan kemuliaan-Mu,
oh Tuhanku.
"

"Justeru, ya Allah, gantikanlah di tempat keresahan ini dengan kedamaian, di tempat kedukaan dengan kegembiraan dan di tempat ketakutan dengan kemanan."

"Ya Allah, sejukkanlah gelojak hati ini dengan salji keyakinan, dan padamkanlah bara di jiwa dengan air keimanan.

"


"Oh Tuhan, buatlah mata yang tidak mahu lelap merasa mengantuk yang memberi ketenangan, dan letakkanlah di atas jiwa yang goncang ini kedamaian, dan berilah balasan baginya dengan kejayaan yang sudah hampir."

"Oh Tuhan, halakanlah kebingungan pandangan hatiku kepada nur cahaya-Mu, an tindakan-tindakanku yang keliru kepada jalan-Mu yang lurus, dan palingkanlah orang-orang yang menyimpang dari jalan-Mu kepada hidayah-Mu."

"Ya Allah, lenyapkanlah was-was dengan fajar cahaya kebenaran, dan hapuskanlah jiwa yang rosak dengan falak kebenaran, dan tolaklah tipu daya syaitan dengan tentera bantuan-Mu dalam keadaan terhina."

"Ya Allah, lenyapkanlah dukacita kami, hilangkanlah kesedihan kami, dan halaikanlah keresahan dari jiwa kami."

"Kami berlindung kepada-Mu dari rasa takut, kami bersandar dan berserah hanya kepada-Mu. Kami tidak meminta kecuali kepada-Mu, kami tidak meminta tolong melainkan kepada-Mu. Engkaulah Pemelihara kami -- sebaik-baik pelindung dan penolong."

Page 6-9 Jangan Bersedih (La Tahzan)
Karya Dr. AIDH BIN ABDULLAH AL-QARNI

@IfzatMokmok - (Twitter)
Nooreizzrul Ifzat - (Facebook)