Welcome back ! Feels free to look around. If you like what you read, mention us in your post or link to this site. Hope to see you again



Saturday, December 8, 2012

INILAH HARI KEPUNYAAN ANDA

BISMILLAHI RAHMANI RAHIM

Malas baca ? :)
Download kat sini :p
Password:




INILAH HARI KEPUNYAAN ANDA



    Apabila anda berpagi-pagi maka janganlah menunggu hari petang. Hari inilah yang anda jalani, bukan hari kelmarin yang sudah berlalu dengan segala kebaikan dan keburukannya, dan juga bukan hari esok yang belum tentu datang, Hari yang ketika inimataharinya menyinari anda, dan siangnya menyapa anda, Inilah hari anda.

    Bukan mustahil hidup anda tinggal sehari sahaja lagi -- hari ini. Maka anggaplah masa hidup anda hanya hari ini sahaja, atau seolah-olah anda dilahirkan hari ini dan akan mati hari ini juga. Dengan begitu, hidup anda tidak akan koyak rabak di antara gumpalan keresahan, kesedihan dan suka-duka serta pedih luka parut masa lalu dengan bayangan hantu masa depan yang penuh keraguan dan sering menakutkan. 

    Justeru itu, sudah sepatutnya anda mencurahkan seluruh perhatian, kepedulian dan kerja kuat anda pada waktu ini untuk hari ini. Dan pada hari inilah, anda perlu berazam mempersembahkan kualiti sembahyang yang paling khusyuk, bacaan Al-Quran yang paling tartil dan penuh renungan, berzikir dengan sepenuh hati, keseimbangan dalam segala hal, keindahan dalam akhlak, kerelaan dan keridhaan dengan semua yang Allah berikan, perhatian terhadap keadaan sekeliling, mengambil berat terhadap kesihatan jiwa dan raga, serta berbuat baik terhadap sesama manusia.

    Jadi sudah sepatutnya anda pada hari ini lebih bijak dan pandai membahagi-bahagi waktu anda dengan baik. Jadikanlah tiap-tiap minitnya bagai ribuan tahun dan tiap-tiap saatnya bagai ratusan bulan; tanamlah kebaikan sebanyak-banyaknya pada hari ini dan persembahkanlah sesuatu yang paling indah untuknya. Beristighfarlah atas semua dosa, ingatlah sentiasa kepada-Nya, bersiap-siaplah untuk satu perjalanan jauh menuju akhirat, dan nikmatilah hari ini dengan segala keriangan dan kebahagiaan. Terimalah rezeki, isteri, suami, anak-anak, tugas-tugas, rumah, ilmu, dan jawatan anda hari ini dengan penuh keridhaan.


"Terimalah apa yang Aku kurniakan kepadamu, dan jadikanlah dirimu dari orang-orang yang bersyukur"
(Al-A'raf: 144)



Marilah kita hidup hari ini tanpa kesedihan, tanpa keresahan, tanpa kemarahan, tanpa kedengkian dan tanpa kebencian!


    Pada waktu yang sama, anda jangan lupa untuk menggoreskan pada dinding hati anda satu kalimat: "Inilah hari saya!" Maka, jika hari ini anda dapat memakan nasi panas yang sedap aromanya maka adakah nasi basi yang tidak anda habiskan kelmarin atau nasi panas esok hari yang belum tentu sampai?

    Jika anda percaya pada diri anda, sengan semangat dan azam yang kuat anda akan dapat menundukkan diri anda untuk berpegang pada prinsip: "Aku hanya akan hidup hari ini!" Prinsip inilah yang akan menyibukkan diri anda tiap-tiap saat supaya sentiasa memperbaiki keadaan, mengembangkan semua potensi, dan mengikhlaskan tiap-tiap amalan.


    Sikap demikian akan membuat anda berkata dalam hati:
"Inilah harinya aku masih berpeluan untuk mengatakan baik-baik sahaja, menghindari bercakap kotor, lucah dan menjijikkan, tidak akan mencela, mengherdik dan juga memperkatakan keburukan orang lain. Hanya hari ini aku berpeluang mengemas rumah supaya tidak kacau-bilau dan berantakan, supaya rapi dan teratur. Dan kerana hari ini sahaja aku akan hidup maka aku akan memerhatikan kebersihan tubuhku, kekemasan penampilanku, kehalusan tutur kata dan perilakuku.


    "Kerana jika aku hanya diizinkan hidup hari ini maka aku akan berusaha sekuat tenaga untuk taat kepada Allah, mengerjakan sembahyang sesempurna mungkin, membekali diri dengan sembahyang-sembahyang sunat, berpegang teguh pada ajaran Al-Quran, mengkaji dan mencatat segala yang mendatangkan manfaat buatku."


     "Aku hanya mempunyai hidup yang pasti hari ini, sebab itu aku akan menanamkan dalam hatiku semua nilai keutamaan dan mencabut darinya pohon-pohon kejahatan serta ranting-rantingnya yang berduri tidak kira sifat takbur, ujub, riya', buruk sangka dan lain-lain."

    "Hanya hari ini aku akan dapat menghirup udara kehidupan maka aku akan berbuat baik kepada orang lain dan menghulurkan tangan kepada sesiapa pun. Aku akan menziarahi mereka yang sakit, menghantar jenazah, menunjukkan jalan yang benar bagi yang tersesat, memberi makan kepada orang yang lapar, menolong orang yang sedang kesusahan, membantu orang yang dizalimi, meringankan penderitaan orang yang lemah, mengasihi mereka yang menderita, menghormati orang-orang alim, menyayangi kanak-kanak dan berbakti kepada ibu bapa."

    "Aku hanya akan hidup hari ini maka aku akan mengucapkan:
    "Wahai masa lalu yang sudah berlalu dan selesai, tenggelamlah kamu seperi tenggelamnya mataharimu. Aku tidak akan menangisi kepergianmu, dan kamu tidak akan melihatku termenung sebentar pun untuk mengingatimu. Kamu sudah meninggalkan kami semua, pergilah dan jangan kembali lagi."

    "Wahai masa depan, engkau masih dalam keghaiban. Maka aku tidak akan bermain dengan khayalan dan memperjudikan nasib hanya kerana satu agakan. Aku juga tidak bakal memburu sesuatu yang belum tentu ada, sebab esok hari mungkin tidak ada sesuatu; esok hari adalah sesuatu yang belum diciptakan dan tidak ada satu pun darinya yang dapat disebutkan."

    "Hari ini kepunyaan saya" merupakan ungkapan paling indah dalam "kamus kebahagiaan", kamus bagi mereka yang ingin menikmati hidup yang paling indah dan menyeronokkan.



Page 12-15 Jangan Bersedih (La Tahzan)
Karya Dr. AIDH BIN ABDULLAH AL-QARNI

Page 6-9
Page 9-11
Page 11-12

0 comments: